Translate

Monday, 10 November 2014

KEPENTINGAN ASID FOLIK SEBELUM DAN SEMASA KEHAMILAN

ASID FOLIK dan Kehamilan: Kenapa Penting dan Bila Perlu?

Apakah asid folik?

Asid folik adalah salah satu vitamin dalam kumpulan B. Ia wujud secara semulajadi sebagai folat dalam kekacang, sayuran hijau, beberapa buah, dan juga yis and ekstrak daging lembu. Sesetengah makanan seperti roti dan bijirin sarapan diperkuat dengan asid folik.



Mengapakah saya perlukan asid folik?


Asid folik menolong melindungi bayi dalam kandungan anda daripada kecacatan dalam sistem sarafnya (kecacatan tiub neural) seperti spina bifida.Spina bifida berlaku apabila pelindung yang melitupi saraf tunjang bayi tidak tertutup dengan sempurna. Ini boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal.

Dalam masa 12 minggu pertama kehamilan, otak dan sistem saraf bayi terbentuk dan berkembang dengan pesat. Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk mengambil folik asid setiap hari pada masa itu. 

Dalam trimester kedua, iaitu dari minggu ke-13 kehamilan, anda sudah boleh berhanti mengambil asid folik. Namun jika anda terus mengambil asid folik sepanjang kehamilan, ia tidak akan menjejaskan kesihatan anda ataupun bayi anda. 


Berapakah jumlah asid folik yang saya perlukan?

Anda dinasihatkan mengambil 400 mikrogram (mcg) asid folik setiap hari sebaik sahaja anda merancang untuk hamil. Kemudian, teruskan mengambilnya untuk 12 minggu yang pertama kehamilan. Baik juga jika anda makan makanan yang kaya dengan folat. 

Wanita yang telah mempunyai seorang anak dengan kecacatan tiub neural (NTD) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat seorang lagi anak dengan kecacatan yang sama. Dalam kes ini, doktor akan mempreskripsikan dos asid folik yang lebih tinggi. 

Jika anda mengambil ubat-ubatan tertentu, seperti yang dipreskripsi untuk mengawal epilepsi, doktor anda mungkin mempreskripsikan dos asid folik yang lebih tinggi. Ini kerana ubat-ubatan itu menghalang keupayaan badan anda menyerap asid folik. 


Apakah sumber makanan yang terbaik?

Makanan yang kaya dengan folat adalah sangat baik bagi anda dan bayi anda. Makanan ini juga kaya dengan pelbagai khasiat yang diperlukan oleh anda berdua. Berikut adalah makanan yang kaya dengan folat: 



Makanan berikut mengandungi 100–200 mikrogram folat bagi setiap hidangan:
  • bayam, 1 cawan;
  • kacang bendi, setengah cawan;
  • asparagus, setengah cawan;
  • lentil, setengah cawan;
  • hati, 1 keping;
  • 11 batang taugeh brussels;
  • kacang mata hitam, 4 sudu makan;
  • emping bran, 7 sudu makan;
  • germa gandum, 25g / 1 aun;
  • betik sederhana besar.

Makanan berikut mengandungi 50–100 mikrogram folat bagi setiap hidangan:
  • brokoli kukus, 2 pucuk;
  • buah oren saiz besar;
  • nasi putih, setengah cawan;
  • oat, setengah cawan;
  • kacang merah, setengah cawan;
  • jagung saiz besar, 1;
  • biji bunga matahari, 1 aun.

Sumber lain yang mudah didapati termasuklah telur rebus bersaiz besar, ikan salmon dalam tin dan ubi kentang tidak dibuang kulit. Ingatlah bahawa asid folik dalam makanan akan musnah jika terlebih masak, jadi masaklah dalam kuali bertutup dengan sedikit air sahaja. Cuba makan sayur-sayuran yang dicelur sebentar atau dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro ataupun mentah. 

Anda juga boleh mendapatkan banyak lagi idea makanan daripada pelan makanan harian kami yang mengandungi pelan pemakanan dari minggu ke minggu yang boleh anda ikuti dalam setiap trimester!

sumber http://www.babycenter.com.my/a1033084/asid-folik-mengapa-ia-diperlukan#ixzz2nnoXRpQc

Friday, 3 October 2014

HENTIKAN AMALAN MEMANASKAN ENJIN KENDERAAN DI AWAL PAGI..!


Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Semua ini dilakukan kononnya demi untuk menjaga enjin. Demi untuk memastikan jangkahayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.

Soalnya sekarang adakah pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa keburukannya? 


Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya ditegah. 

Negara Kanada telah memulakan kempen nasional mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan. Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun , United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan idling melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah?


The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya. Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia?

Salah seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata, “Engines run best at their design temperature”. Berdasarkan kenyataan Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin anda di dalam keadaan idling adalah bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih baik jika memandunya terus. 

Jadi berikut antara bahaya atau keburukkan dalam amalan yang tidak betul ini.

DINDING SILINDER CEPAT HAUS


Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan pepura (idling) dikatakan adalah satu perkara yang tidak baik dan berfaedah. Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahanapi tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan berubah dan hilang kecekapannya.

PALAM PENCUCUH MENJADI KOTOR


Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api sebanyak 5%.

PAIP EKZOS CEPAT BERKARAT


Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling), bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.

FUNGSI ENJIN GAGAL BERFUNGSI DENGAN BAIK


Kenderaan pada masa kini biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Kereta-kereta Malaysia pun dah mula guna pakai. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran udara dapat diminimakan.

Walaubagaimana pun, masalah yang timbul jika enjin berada di dalam keadaan pepura (idling), komponen ini tidak berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800 darjah selsius yang dimana adalah pada satu kadar suhu yang sangat panas berbanding enjin. Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya kepada alam sekitar. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana ia boleh beroperasi, anda perlulah memandu. Bukan meninggalkan kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan idling maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan tak bekerja. Anda rasa apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar?


MEMBAZIR DAN MENCEMAR

Sekarang kita sudah mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita lihat apa pula kebaikkan memanaskan enjin. Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin.

Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara ini benar. Tetapi apa yang anda perlu tahu bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir. Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Untuk memastikan crankshaft ini berpusing laju apa yang anda perlu buat? Adakah dengan hanya membiarkan enjin dalam keadaan idling?

Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita rakyat Malaysia. BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab mereka tahu jika enjin cepat rosak nanti mesti pelanggan mengadu. Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus pandu cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini tidak, siap boleh masuk rumah pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil sembang-sembang dengan isteri tapi enjin kereta terbiar hidup.

Seperkara lagi yang boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan anda tidak bergerak. Kalau tunggu kekasih turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut dengan telefon, tunggu bini masuk pasar mini beli barang dapur, dan tunggu anak balik sekolah depan pagar sekolah bawa bawalah matikan dulu enjin. Perkara itu tidak memberi sebarang faedah langsung malah boleh menyebabkan masalah pencemaran udara dan alam sekitar serta pembaziran wang ringgit. Sedarkah anda di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan enjin dibiarkan hidup dalam keadaan idling ini mampu menjimatkan beratus ribu juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas rumah hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.

Wednesday, 1 October 2014

AKIKAH


AKIKAH / AQIQAH ialah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah.

"Setiap anak yang lahir itu terpelihara / tergadai dengan aqiqah yang disembelih untuknya pada hari ketujuh selepas kelahirannya, dicukur rambutnya dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)

HUKUM AQIQAH

Hukum aqiqah itu adalah Sunat Muakkad (Sunat yang dituntut) kecuali dinazarkan hukumnya menjadi wajib.

Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.

Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda diangkat menjadi Rasul.

Aqiqah untuk anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Tirmuzi). 

Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)

Niat penyembelihan aqiqah: "Aku jadikan penyembelihan binatang ini sebagai aqiqah untuk anakku kerana Allah Ta'ala."

Daging aqiqah sunat  dimasak dengan masakan yang manis dan disedekahkan kepada fakir miskin atau dihadiahkan kepada orang yang mampu.

Unta, lembu atau kerbau boleh dikongsi sebahagian untuk qurban dan sebahagian untuk aqiqah.

Orang kafir tidak boleh diberi makan daging korban dan daging aqiqah. 

Daging atau mana-mana bahagian dari binatang qurban atau aqiqah orang NAZAR, haram dimakan atau diambil oleh orang yang bernazar tersebut.



 

Tuesday, 30 September 2014

Berhenti membazir dan belajar 7 cara unik untuk berjimat.


Cara pertama : Duduk di rumah jika tidak ada tujuan.
Jika anda kerap keluar rumah, anda pasti akan membazir. Contohnya anda bosan di hujung minggu dan anda keluar minum di kedai, tidakkah tindakan tersebut membazir? Bersembang di kedai kopi hanya akan menyebabkan anda membazir wang dan masa. Duduk di rumah membolehkan anda berjimat dari menggunakan wang pada perkara yang tidak di rancang lebih awal.
Cara kedua : Elakkan jualan borong.
Jangan terperangkap dengan jualan secara borong. Beli jika perlu sahaja. Memang harganya murah tetapi jika anda beli dan ia tidak perlu, tindakan anda hanya membazir sahaja. Yalah, anda tidak rancang untuk membeli tetapi secara tiba – tiba anda terlihat jualan borong, terus anda beli di sebabkan murah. Anda tetap membazir kerana membeli barang yang tidak perlu.
Cara ketiga : Sentiasa survey kedai baru.
Jangan hanya beli barang dari satu kedai sahaja. Sebaliknya cuba kedai lain juga untuk memperoleh harga yang terbaik.
Cara keempat : Jimat untuk diri sendiri.
Jika anda rasa hendak membazir, anda lawan perasaan tersebut dengan menyatakan di dalam hati bahawa anda berjimat untuk kesenangan di masa hadapan. Secara psikologi, anda akan lebih bekerja keras jika anda lakukan sesuatu perkara untuk diri sendiri.
Cara kelima : Belajar cara untuk tawar menawar.
Sentiasa amalkan tawar menawar untuk peroleh harga yang lebih murah. Kebiasaannya, orang kaya selalu berunding untuk dapatkan harga yang lebih murah kerana mereka tahu sangat susah hendak mencari wang.
Cara keenam : berganding bahu dengan rakan untuk berjimat.
Cara rakan – rakan yang anda pecaya untuk berjimat bersama – sama. Jadi, anda boleh pergi kerja bersama –sama untuk jimatkan wang minyak, beli makanan dapur bersama – sama untuk dapat harga lebih murah kerana beli secara borong dan bermacam –macam cara lagi.
Cara ketujuh : Sentiasa senaman.
Senaman boleh memberi badan yang sihat pada anda. Badan yang sihat bermakna peluang untuk anda dapat penyakit adalah kurang. Jadi, perbelanjaan untuk kesihatan dapat di elakkan.

Monday, 29 September 2014

PETUA TRADISIONAL

PETUA MELANSINGKAN BADAN



  • Tumbuk sedikit jintan manis, jintan putih, halia dan lada hitam sehingga halus. Campurkan dengan setengah gelas air dan tapis. Minum air ini sebelum tidur dan amalkan selama sebulan.
  • Tumbuk segenggam cekur manis. Campurkan dengan sedikit tepung beras, sedikit asam jawa, gula merah, gula pasir dan sedikit garam. Kemudian campurkan dengan setengah gelas air dan ditapis. Minum air itu 2 kali sehari.

HILANGKAN DAKI BADAN



  • Rendam segenggam beras selama satu jam. Toskan. Tumbuk beras ini dengan sedikit kunyit hidup sehingga lumat. Basahkan badan dengan air. Kemudian gosokkan beras tumbuk pada badan terutama bahagian leher dan kaki. Kemudian bilas dengan air suam. Jika diamalkan, kulit akan menjadi cerah.
  • Goreng sedikit beras dengan beras pulut tanpa minyak sehingga kekuningan. Kemudian tumbuk dengan kunyit hidup sehingga hancur. Campurkan sedikit air limau nipis, sebiji telur, sedikit air dan kacau rata. Sapukan pada badan dan gosok hingga keluar daki.

KULIT MUKA HALUS



Ambil beberapa kelopak kobis, tumbuk hingga halus. Perah airnya. Ambil airnya dan campurkan dengan sedikit madu.  Sapu pada kulit muka dan, biar selama 30 minit. Kemudian cuci bersih.  Anda akan dapati kulit muka akan menjadi segar dan halus.

SEGARKAN MUKA

Ambil sedikit madu dan masukkan bersama minyak zaitun, sebiji putih telur, perahan sebiji limau nipis, bunga melur dan buah badam ke dalam pengisar. Kisar hingga sebati. Sapukan pada muka seperti memakai mask dan biarkan selama 25 minit. Bilas dengan air bersih.

PANJANGKAN BULU MATA




1. Amalkan multi-vitamin untuk merangsang pertumbuhan bulu mata. Vitamin E, selain baik untuk kulit dan rambut, juga boleh menstimulasi pertumbuhan bulu mata. Amalkan vitamin E secara rutin.
2. Sapukan minyak zaitun atau petroleum jelly pada bulu mata anda, agar bulu mata kuat dan sihat. Lakukannya pada malam hari dan bersihkan setelah bangun tidur esok paginya.
3. Terapkan minyak vitamin E pada bulu mata menggunakan sikat khusus yang bersih.
4. Rajinlah menyikat bulu mata setiap hari dengan sikat khusus, agar terhindar dari debu dan kotoran. Ia juga akan membuat bulu mata anda selalu rapi.
5. Jangan lupa bersihkan maskara dan eyeliner sebelum tidur. Partikel kimia yang terdapat dalam alat rias mata boleh membuat bulu mata rosak jika terlalu lama dibiarkan semalaman.

BIBIR CANTIK



Tahukah anda, bibir mempunyai lapisan kulit yang paling nipis iaitu hanya 3-5 lapisan sedangkan bahagian kulit lain mempunyai sehingga 16 lapisan. Bibir juga tidak mempunyai sebarang bulu, mahupun kelenjar peluh dan juga kelenjar sebum yang menghasilkan sebum yang bagus untuk melembapkan kulit. Kerana itulah bibir adalah bahagian yang paling cepat kering, paling sensitif, dan paling mudah ‘berumur’ berbanding bahagian lain pada wajah kita. ?

1. Bila Siang Tabiat menyapu pelembab bibir setiap kali keluar rumah mungkin mudah bagi anda, tetapi  sebenarnya ini adalah asas yang paling penting dalam rutin penjagaan bibir. Pastikan bibir anda tidak basah supaya pelembab bibir boleh diaplikasikan dengan sempurna pada bibir, atau bibir yang kering dan merekah akan jadi lebih teruk. Sapulah pelembab bibir untuk melindungi bibir dari kesan cahaya matahari.

2. Bila Malam Sebelum tidur, kesat semua kesan gincu bbir dengan gentle make-up remover, kemudian ambil kain lembut yang dilembabkan, dan gosok dengan perlahan di permukaan bibir. Ini untuk menanggalkan semua sel-sel mati di permukaan bibir. Gosok sehingga bibir terasa lembut dan licin. Sapukan nipis-nipis produk rawatan bibir atau serum bibir dan biarkan semalaman.

3. Jangan - Tabiat menggigit dan menjilat bibir sebenarnya faktor utama bibir anda menggelupas. Elakkan menjilat bibir. Jika bibir terasa kering segeralah menyapu lip balm sekerap mungkin sepanjang hari.

HILANGKAN BINTIK HITAM


Dapatkan 10 helai daun pegaga, cuci dengan air garamkemudian ditumbuk halus. Campurkan dengan bedak sejuk yang telah dicampurkan dengan air suam. Amalkan memakainya pada muka setiap malam dan cuci pada keesokan hari. Lakukan sehingga bintik-bintik hitam hilang.

MENEGANGKAN KULIT MUKA



Petua 1 : Ambil tepung ubi kayu dan timun.Timun itu hendaklah di sagat/dihancurkan terlebih dahulu atau dilumatkan. Kemudia campurkan kedua-duanya dengan air sedikit. Kacau rata dan jangan terlalu cair. Selepas itu, sapukan ke muka dan biarkan ia kering.Kemudian basuh. Dengan cara ini ia dapat menegangkan kulit muka serta menampakkan keputihan di muka dan menjadikan kulit kita segar.

Petua 2 : Campurkan sedikit bedak sejuk dan beberapa titik air limau nipis. Bancuhlah bersama sedikit air dan sapukan ke muka. Kulit akan terasa pedih sedikit. Amalkan dalam masa seminggu untuk melihat perubahannya.

TUMIT KAKI PECAH



Pelbagai petua boleh diamalkan untuk menyembuhkan tumit kaki yang pecah. Antaranya ialah :-

- Rendamkan kaki dalam air suam beberapa minit. Kemudian gosokkan batu asah pisau pada tumit yang pecah tadi. Lakukan sehingga berlaku perubahan.

- Ambil getah betik yang masih muda. Sapukan pada tumit yang pecah dan biarkan kering. Selain getah betik, ubat gigi juga boleh digunakan.

- Campurkan sedikit air perahan limau nipis dengan bawang putih yang telah dihancurkan. Sapukan pada tumit kaki yang pecah. Lakukan secara berterusan sehingga sembuh

- Geselkan kaki anda di rumput yang masih berembun pada waktu pagi. Lakukan tiap-tiap hari sehingga anda merasakan perubahannya.

- Bawang merah dibelah dua. Sapukan pada tumit kaki yang pecah sehingga kering. Ulangi setiap hari sehingga sembuh.

- Hancurkan gambir dan campurkan dengan air. Sapukan campuran ini pada tumit yang pecah.

- Sapukan minyak lebihan mengoreng ikan pada tumit yang pecah.

MERAWAT SENGGUGUT



Petua 1 : Ambil 9 biji pinang tua, bakar hingga menjadi arang, dan tumbuk halus. Campurkan secawan air suam dan minum 9 hari berturut-turut dari hari pertama datang haid.


Petua 2 : Ambil segenggam halia dan tumbuk lumat. Masukkan halia ke dalam segelas air suam, apabila halia mendap barulah diminum air tadi, didahulukan dengan selawat.


Petua 3 : Minum air rebusan rumput jarum  emas atau rumput rempah padang atau rumput cengkih padang semasa  kedatangan haid atau sebelumnya.


Petua 4 : Campurkan halia yang telah ditumbuk dengan serbuk lada  hitam . Kuantiti sama banyak antara kedua-dua bahan . Makan dalam 1 atau 2 minggu sebelum haid .


Petua 5 : Semasa sakit ketika haid, hendaklah sentiasa meminum air  teh pahit tanpa gula

MENEGANGKAN PAYUDARA



Petua 1 : Wanita yang sudah bersalin akan mengalami masalah buah dada menjadi kendur tidak bermaya seperti dahulu.Dapatkan beberapa helai daun sirih Melayu , ianya berdaun lebar dan berwarna hijau. Sapukan minyak kelapa (seelok-eloknya dibuat sendiri) pada daun sirih. Salaikan mengunakan api lilin dan tekapkan pada buah dada. Biarkan ia kering dan dibuat berulang kali.

Menurut orang tua yang memberikan petua ini , petua ini dipanggil ‘Petua Sayang Suami’. Semoga kebahagiaan rumahtangga puan-puan akan bertambah seri lagi dengan kehadiran cahaya mata dan tubuh badan yang menawan. Bersama-samalah kita amalkan. 
Petua 2 : Kupas setengah biji labu dan masak sehingga menjadi lembik. Ramas labu tersebut tika masih suam. Kemudian, sapukan pada seluruh payudara lebih kurang 20 minit. Lakukan 2 kali seminggu.
 

Petua 3: Sapukan putih telur pada sekeliling buah dada dan biarkan kering semalaman. Buat 3 kali seminggu.
 

Petua 4 :Amalkan meminum air kanji (air didih nasi) sebelum tidur malam. Insyaallah mujarab.


KEMBALI GADIS



Bagi wanita yang sudah lama berkawin ataupun bagi ibu yang sudah melahirkan pasti menghadapi masalah faraj yang tidak seperti mula-mula berkawin. Sila amalkan petua dibawah. Insya-Allah faraj akan kembali ketat seperti gadis. 

Bahan-bahannya
1. Daun Inai 
2. Daun Pegaga 
3. Daun Limau Purut 
4. Pinang Muda 

Cara-caranya

 
Tumbuk kesemua bahan diatas dan perahkan bagi mendapatkan airnya yang pekat. (Jika perlu campurkan sedikit air). Gunakan 'cotton bud' atau putik kapas dan celupkan kedalam cecair ini. Kemudian masukkan kedalam lubang faraj. Lakukan setiap hari, seelok-eloknya selepas mandi petang sehingga faraj kembali ketat.

LICINKAN KULIT MUKA




  • Kisar dua biji buah tomato, gula dan air. Tapiskan dan minum air setiap pagi. Lakukan selalu sehingga kulit muka kelihatan licin.
  • Campurkan sedikit tepung pulut dengan sedikit air. Sapukan pada muka sebelum tidur. Keesokkannya cuci muka dengan air suam. Amalkan seminggu sekali.
  • Campurkan satu sudu besar madu lebah dengan satu sudu besar susu tepung. Sapukan pada seluruh muka dan biarkan sebentar. Kemudian basuh muka dengan air suam. Amalkan dua kali seminggu.
  • Campurkan bedak sejuk, asam jawa, serbuk kunyit serta sedikit air. Sapu dan gosok perlahan-lahan pada muka selama beberapa minit sebelum mandi. Kemudian cuci dengan air suam. Lakukan setiap hari.
  • Giling tiga sudu besar kacang hijau. Campurkan dengan sedikit air. Sapukan pada muka dan biakan kering. Cuci dengan bersih.
  • Gosokkan serbuk teh yang telah digunakan ke muka. Biarkan selama 3 minit sebelum dicuci dengan air suam.
  • Setiap kali mandi, gosokkan tawas pada muka. Lakukan setiap pagi atau malam. Muka anda akan menjadi halus.
  • Sapukan yogurt asli pada muka seperti memakai masker. Biarkan kering selama 10 minit. kemudian baru dicuci dengan air bersih. Amalkan 3 kali seminggu untuk mendapatkan kesannya.

KUKU CANTIK BERSINAR

Kandungan kalsium dalam susu mampu menguatkan kuku agar tidak mudah patah, terbelah dan kusam. Kandungan asid laktik dalam susu pula berupaya mengelupaskan kutil sekeliling kuku. Utk mendapatkan kuku yang cantik dan bersinar, jadikan amalan merendam kuku dalam secawan susu suam selama tiga minit sebagai rutin setiap minggu